Selamat Datang Diucapkan Kepada Semua Pengunjung Blog Ini Segala Komen Dan Saranan Teman Teman Amat Seri Hargai

Koleksi Pantun Empat Kerat ‘B’


Kategori Adat:


Bagaimana hendak menjahit,
Hendak menjahit jari pun rempak;
Bagaimana saya nak naik,
Tuan rumah belum nampak.

Bagaimana mencucuk manik,
Manik dicucuk di pagi hari;
Abang adik silalah naik,
Itu air membasuh kaki.

Baik beralas baik tidak,
Kain pelikat di atas peti;
Baik balas baik tidak,
Sudah ikhlas dalam hati.

Baiklah baik berjalan-jalan,
Kalau takut bawalah teman;
Alangkah merpati berpasang-pasangan,
Mengapa orang tidak berkawan.

Banting-banting tumbuhlah damit,
Disukat bahagian panjang;
Pengantin lagi damit,
Ibu bapanya akan menentang.

Banyak belah pecah seratus,
Nampak berbalam di hutan lipur;
Demi Allah sumpah putus,
Sudah digenggam masakan lebur.

Banyak telur Si Raja Lutung,
Dibawa budak dari seberang;
Tarik nafas kenangkan untung,
Untung tidak seperti orang.

Banyak tumbuh pohon di sini,
Encik Anjang orang berbudi;
Silalah makan hidangan ini,
Mana yang kurang jangan dikeji.

Baru kembang bunga seroja,
Sudah ada orang mencuri;
Besar-besar istana raja,
Kecil-kecil pondok sendiri.

Baru saja adik berkain,
Adik berkain malam Jumaat;
Bukan saya pandai bermain,
Saya melangsung orang berhajat.

Baru sekali pergi ke pekan,
Orang membeli bunga sekuntum;
Baru sekali saya berpesan,
Saya berpesan suruh berpantun.

Batang besar dua sebaya,
Ambil sebatang membuat galah;
Kalaulah abang orangnya kaya,
Tidaklah abang sebatang karah.

Batang keduduk dibuat galah,
Hendak menghalau si ayam jantan;
Telunjuk sudah dijadikan Allah,
Hendak menculik kapur berjuitan.

Bawa anjing pergi berburu,
Berburu sampai ke Tanjung Pinang;
Sudah bersetuju ayah dan ibu,
Bolehlah abang masuk meminang.

Bentang tikar luas-luas,
Tempat sawa menyeru lampai;
Berladanglah anak luas-luas,
Kirimkan saya emping bertangkai.

Bentang tikar tengah rumah,
Hendak tabur biji lada;
Tabik encik orang di rumah,
Saya main kurang bahasa.

Beras dibawa dalam negeri,
Anak udang dalam perahu;
Emas perak boleh diuji,
Hati orang siapa tahu.

Beras pulut bercampur padi,
Laksamana memanah dulang;
Di mulut sedih di hati,
Belum ada anak seorang.

Berdentum banai berlian,
Buat mari perumbung saji;
Kalau tak ada petemu tuan,
Jangan dicari disakit hati.

Bergesek rebab bertali dua,
Mari gesek bertali kain;
Mari adik bersahabat dua,
Bersahabat saya nanti pergi ke lain.

Berkokok ayam di lanting,
Menyahuti ayam di paya;
Makan pinang sirih digunting,
Dikepit juga sama suara.

Bermasak nasi santan bergantung,
Ambil puntung dari seberang;
Tarik rebab mengenangkan untung,
Untungku tidak seperti orang.

Bertanak periuk besar,
Nasinya berulas-ulas;
Pantun sesama besar,
Bunyinya berbalas-balas.

Beruntung merapat kaban,
Akan perapat bunga anggerik;
Kalau untung suratan badan,
Dapat bertukar bangsa yang baik.

Betik manis buah papaya,
Manis tidak dapat kulupa;
Riuh rendah sorak ketawa,
Saya seorang berdukacita.

Bintang tidak terbit pagi,
Diselaput oleh awan putih;
Puan sudi sampai ke mari,
Saya memberi terima kasih.

Bismillah mengepal nasi,
Nasi mentah dikepal jangan;
Bismillah memulakan nyanyi,
Nyanyi salah dikeji jangan.

Bismillah mengepal nasi,
Nasi mentah dikepal jangan;
Bismillah memulakan nyanyi,
Nyanyi salah dikeji jangan.

Buah belolok penuh duri,
Jatuh terletak di kolam Cina;
Habis elok lagi bestari,
Bukanlah layak orang yang hina.

Buah betik dalam dulang,
Mari belah tepi telaga;
Ayuhai encik kami nak pulang,
Mari hantar di anak tangga.

Buah keranji buah delima,
Mari letak atas meja;
Sirih pinang sudah kuterima,
Tanda jadi kita berdua.

Buah nangka di tepi tebat,
Buah duku disangka jering;
Disangka jujur hati sahabat,
Rupanya menikam kawan seiring.

Buah pauh di atas batang,
Sayang cermai di atas batu;
Tuan jauh ke mari datang,
Meramai akan kampungku.

Buah rambai buah rambutan,
Buah tergantung bertali-tali;
Sudah sampai janjimu tuan,
Jika untung mana nak lari?

Buah rumbia buah salak,
Pokok tumbuh tepi perigi;
Hidup di dunia kita beradat,
Bahasa tiada berjual beli.

Buah-buah rotan dan batu,
Jauh sejengkal dimakan angin;
Apa khabar ayah bondaku,
Baru merasa sejuk dan dingin.

Buat ketupat sebakul baru,
Pergi jala di kampung Siam;
Abang dapat sahabatlah baru,
Sahabat lama tinggallah buang.

Buat sumpik leka bersumpik,
Keratlah mengkuang panjang lima;
Lekanya hamba berbuat baik,
Berbuat baik tumpangnya di demo.

Bubuh racun di dalam gelas,
Kalau minum tentulah mabuk;
Tuan terima dengan ikhlas,
Boleh tidak saya nak masuk.

Budak-budak atas jambatan,
Campak batu seorang satu;
Ramai duduk di medan,
Campak pantun seorang satu.

Budak-budak duduk di pintu,
Apa dibuat mencari kutu;
Habislah wang beribu-ribu,
Sukalah hati mendapat menantu.

Bukan jagung sebaranglah jagung,
Kacang melilit di batang aru;
Bukannya datang sebarang kampung,
Datang menghibur hati yang baru.

Bukan kacang sebarang kacang,
Kacang melilit di pohon kayu;
Bukan datang sebarang datang,
Datang jemput kerana malu.

Bukan kacang sebarang kacang,
Kacang melilit di ranting kayu;
Bukan datang sebarang datang,
Datang menyambut pengantin baru.

Bukan kutimba bukan kucebok,
Anak gelama dalam bubu;
Bukan kusila bukan kumabuk,
Dari selama dah sahaja begitu.

Bukan lebah sebarang lebah,
Lebah bersarang di pohon dedap;
Bukan sembah sebarang sembah,
Sembah saya mohon bercakap.

Bukan lonteng perkara lonteng,
Lonteng datang dari Labuan;
Bukan runding perkara runding,
Runding biasa potong haluan.

Bukan tembaga bukannya perak,
Anak kunci tidak beribu;
Tuan juga janganlah tidak,
Anak menantu di muka pintu.

Bukit Gebuk Gunung Cik Jenal,
Nampak dari Pulau Nerang;
Adik duduk abang tak kenal,
Sikap pulih ayam mengerang.

Bulan hulur matahari berdiri,
Tanam kapas di laman raja;
Sudah masyhur saya di sini,
Saya tidak lepas sahaja.

Bulan mengambang di celah awan,
Pungguk merindu dengan berangan;
Sewajar memilih jodoh pertemuan,
Tapak tangan satu perjuangan.

Bulan Ramadan bulan puasa,
Awal Syawal beraya kita;
Kita baru berkenal biasa,
Berdondang sayang bermesra kita.

Bulan Safar bulan sebelas,
Cahayanya cerah menyapu awan;
Bukan mengata bukan membalas,
Saya serah melukut secawan.

Bunga Cina tanaman Cina,
Mari dipakai tuan puteri;
Kerja kita akan sempurna,
Bila sampai masa dijanji.

Bunga kelapa di Padang Jenak,
Tempat makan seladang tua;
Ada orang mengakulah anak,
Boleh juga jadi mertua.

Bunga malai jatuh ke laut,
Digulai itik bersama laksa;
Apa soal tidak disahut,
Sungguhlah bijak belum dewasa.

Bunga paku tidak berbuah,
Sama juga bunga kelapa;
Jongok Batu kampung bertuah,
Sampai ke mana saya tak lupa.

Bunga rampai dalam cepu,
Taruh mari dalam raga;
Ucap selamat pengantin baru,
Ibu bapa menumpang suka.

Bunga raya merah menyala,
Bunga lebih diisi karung;
Abang kaya bertambah kaya,
Hamba miskin dibawa untung.

Bunga ros bunga melati,
Harum semerbak di dalam taman;
Besar sungguh hajat di hati,
Untuk menyunting bunga di taman.

Bunga sena dalam jerami,
Putik kandis dalam dulang;
Cuba guna dalam nyanyi,
Bawa nyanyi depan orang.

Bunga sena kuning mencelah,
Daun kering jatuh bersepah;
Saya yang hina buang sebelah,
Hidup di dunia bagai sampah.

Bunga tanjung putih berseri,
Bunga kembang berlapis-lapis;
Lagu canggung lagu asli,
Lagu asal negeri Perlis.

Bungalah tanjung dari utara,
Memakai ku cincin permaisuri;
Jika ku terkandung dalam perkara,
Tidak kukunci memangku diri.

Burung belatuk kepalanya kuning,
Hendak merapat di kaki dulang;
Mata mengantuk kepalanya pening,
Hendak melepas si hajat orang.

Burung belibis burung jelatuk,
Singgah menyewa di kampung petani;
Minta tabik segala datuk,
Datuk ada semua di sini.

Burung enggang silang-bersilang,
Nampak pipit sama rata;
Sudilah sirih sekapur seorang,
Itulah asal pembuka kata.

Burung merbuk sambar tekukur,
Lepas sekali menjadi punai;
Terung berpucuk limau bertabur,
Puaslah hati membeli mahal.

Burung merpati terbang sekawan,
Hinggap di hujung ruang seri;
Buah hati diamlah tuan,
Bonda berada di dalam negeri.

Burung pipit burung serindit,
Terbang ke awan berderai-derai;
Apa nak sesal padanya nasib,
Nyawa di badan lagikan bercerai.

Burung putih terbang malam,
Hinggap dia di pohon rumunia;
Tabik encik tuan di dalam,
Saya mencabut sedak rebana.

Burung serindit di sawah padi,
Habis pulut dimakan tempua;
Tidak sakit atau mati,
Lambat laun berjumpa jua.

Burung serindit tidur tergantung,
Tergantung mari di alang tengah;
Tabiklah datuk empunya kampung,
Kami bermain di tengah-tengah.

Burung tebit burung jelatuk,
Singgah hinggap di Tanjung Petani;
Minta tabik segala datuk,
Datuk bumi belantara sini.

Burung tekukur terbang ke laut,
Mari hinggap pokok jati;
Orang bercakap sedap mulut,
Kita mendengar sakit hati.

Burung tiung beranak tunggal,
Hinggap mari atas bumbung;
Ibu mati ayah meninggal,
Pada siapa hendak bergantung.

Kategori Agama:

Banyak benar ikan di laut,
Dualah ekor di tapak dulang;
Banyak benar malaikat maut,
Di dalam kubur rasa nak pulang.

Banyak bulan antara bulan,
Tidak sama bulan puasa;
Banyak Tuhan antara Tuhan,
Tidak sama Tuhan Yang Esa.

Banyaklah banyak gelang di pasir,
Minyak penawar di dalam cangkir;
Anak siapa berjanji mungkir,
Anak Islam menjadi kafir.

Belah buluh bersegi-segi,
Buat mari serampang ikan;
Kuasa Allah berbagai-bagai,
Lebih laut dari daratan.

Belahnya belum bunyinya malam,
Bunyi di darat rumah penghulu;
Allah belum menjadikan alam,
Barang bersurat dari dahulu.

Bentang tikar bentang cukin,
Bentang mari pagi hari;
Bila tersiram air talkin,
Umat baru sedarkan diri.

Berbunyi mawas serta bangsi,
Raja Janjuma dari seberang;
Syurga terbuka saya tangisi,
Hendak menumpang ilmu pun kurang.

Berburu tidak mengejar pun tidak,
Hendak masuk ke dalam hutan;
Berguru tidak belajar pun tidak,
Sesat tak tahu cara Islam.

Berdentum guruh di atas papan,
Kilatnya sampai di atas bahu;
Tujuh syurga di dalam badan,
Tolong huraikan satu persatu.

Betapa lebat bunga remia,
Lebat lagi bunga pegaga;
Betapa hebat pakaian dunia,
Hebat lagi pakaian syurga.

Bila-bila Mak Milah mandi,
Petang hari jalan ke kubur;
Bila-bila kami nak mati,
Hendak masuk pintu kubur.

Buah ini buah berangan,
Masak dibungkus sapu tangan;
Dunia ini dunia pinjaman,
Akhirat kelak kampung halaman.

Buah jambu dimakan kera,
Dipetik Rukiah lari ke hutan;
Ilmu itu bertiang tiga,
Dialah cahaya penyuluh jalan.

Budak-budak baik mengaji,
Dapat mengaji sangat terpuji;
Cari nafkah dapat naik haji,
Boleh menziarah makam nabi.

Budak-budak baik mengaji,
Lagi alim lagi terpuji;
Cukup bekal naik haji,
Supaya dapat syafaat nabi.

Bunga cina di dalam taman,
Sayang keduduk bercabang dua;
Dunia ini pinjam-pinjaman,
Nak tumpang duduk sehari dua.

Bunga kesum tebing tinggi,
Nampak dari Kuala Segamat;
Singgah terlangsung saya ke mari,
Minta doa biar selamat.

Bunga melur berjinjang-jinjang,
Bunga mawar dalam raga;
Minta doa umur panjang,
Lambat laun bertemu juga.

Burung belatuk jambul merah,
Sepakat dengan rajawali;
Minta ampun kepada Allah,
Minta syafaat kepada nabi.

Burung kedidi burung kelicap,
Makan nisan kelopak jantung;
Suruh Nabi bawa mengucap,
Pada Allah tempat bergantung

Kategori Budi:

Bagaimana kalau tak ikat,
Kait dengan duri-durinya;
Bagaimana aku tak ingat,
Orang baik hati budinya.

Bagaimana nak tanam selasih,
Tanamlah mari di rumpun keladi;
Bagaimana hati nak kasih,
Kasih bercampur denganlah budi.

Bagaimana tidak di rimba,
Lalu jatuh dari durinya;
Bagaimana tidak dicinta,
Hatiku hancur mengenang budinya.

Bagaimana tidak diikat,
Kain batik sama sujinya;
Bagaimana tidak diingat,
Orang baik bahasa budinya.

Baik-baik menggali ubi,
Ubi ada di atas batas;
Baik-baik menabur budi,
Wang habis kita melepas.

Baju kebaya disulam kelimkan,
Dipakai mari dara berdandan;
Miskin kaya jangan bezakan,
Budi jadi satu ujian.

Banyak duri perkara duri,
Duri mana duri yang tajam;
Banyak budi perkara budi,
Budi yang mana dikenang orang?

Banyak duri perkara duri,
Mana sama duri selasih;
Banyak budi perkara budi,
Manakan sama budi kekasih.

Banyak duri perkara duri,
Tidak sama duri mengkuang;
Banyak budi perkara budi,
Tidak sama budimu seorang.

Banyak itik anak itik,
Turun ke sawah makan padi;
Tengok cantik dipandang cantik,
Tambah pula berhati budi.

Banyak ubi perkara ubi,
Mana ubi yang kami tanam;
Banyak budi perkara budi,
Budi yang mana kami dikenang?

Banyak ubi perkara ubi,
Ubi Daik saya tanamkan;
Banyak budi perkara budi,
Budi baik saya kenangkan.

Banyak ubi perkara ubi,
Ubi mana orang tanamkan;
Banyak budi perkara budi,
Budi mana orang kenangkan?

Baru kutahu peria pahit,
Haram bertaubat sayur petola;
Kalau kutahu budi tak baik,
Haram tak buat dari mula.

Bawa belayar pisang emas,
Masak sebiji di atas peti;
Boleh dibayar hutanglah emas,
Hutang budi dibawa mati.

Belok-belok paya ke kanan,
Daun nangka berjari-jari;
Rupa elok tak boleh nak makan,
Budi bahasa saya nak cari.

Berapa tinggi pokok kubis,
Tempat membuat ulam-ulaman;
Sedikit lagi jiwa nak habis,
Tempat berbudi kepada tuan.

Bertanam cempedak di luar kota,
Tumbuh rendang condong ke desa;
Orang nan tidak memandang harta,
Tapi memandang budi bahasa.

Bintang di timur cuaca baik,
Cahayanya sampai ke hutan seberang;
Mulut manis hatinya baik,
Itulah budi dikenang orang.

Buah pedada dalam baldi,
Masak nasi hari petang;
Hidup kita biar berbudi,
Hingga mati dikenang orang.

Buah rambai dalam padi,
Lazat pula cita rasanya;
Pandai sungguh mengambil hati,
Sarat dengan budi bahasanya.

Bukan benar bangsa Yahudi,
Dia benar kafir melaun;
Jika terkenang sebarang budi,
Tidak kukenang seribu tahun.

Bukan gambus gila di pekan,
Melagui hendak berpantun;
Bukan bagus kami gilakan,
Akal dan budi dialu-alukan.

Bukan saya mengejar kolek,
Saya mengejar papan tunda;
Bukan saya mengharap molek,
Saya mengharap budi bahasa.

Bukan saya mengejar kolek,
Saya mengejar papan tunda;
Bukan saya mengharap molek,
Saya mengharap budi bahasa.

Bukan saya pergi ke Daik,
Sudah ke Daik menali benang;
Budi baik dibalas baik,
Sudah baik selalu dikenang.

Bukan tanah menjadi padi,
Kalau jadi hampa melayang;
Bukan bangsa boleh berbudi,
Kalau dibudi cuma terbuang.

Bulan puasa memetik kelapa,
Hendak menyambut Aidilfitri;
Budi kami tidak seberapa,
Kenangan diberi kekal abadi.

Bunga kalas dibubuh baja,
Dipetik oleh mem Serani;
Tidak terbalas budi kakanda,
Berapa jauh datang ke sini.

Bunga pandan jauh ke tengah,
Pulau Sari bercabang dua;
Buruk badan dikandung tanah,
Budi baik dikenang juga.

Bunga tanjung kembang tak jadi,
Jatuh berserak di rumpun buluh;
Hancur hati kerana budi,
Di dalam air badan berpeluh.

Burung jeladan singgah di huma,
Anak balam turun ke paya;
Budi laksana sinar purnama,
Manusia alam menumpang cahaya.

Burung pipit burung kedidi,
Hinggap di pokok di tepi sawah;
Jika hidup tidak berbudi,
Ibarat pokok tidak berbuah.

Burung serindit terbang melayang,
Terhenti hinggap di ranting mati;
Bukan ringgit dipandang orang,
Tapi memandang bahasa dan budi.

Kategori Jenaka:

Bagaimana mengail udang,
Lepas ditarik dienjut pula;
Bagaimana bermain bujang,
Lepas senyum ketawa pula.

Baik dikepung jangan dipalu,
Anjing hitam datang meluru;
Betullah pesan nenekku dulu,
Harimau menderam makan tak mahu.

Bakar bara waktu petang,
Hendak melayur daun palas;
Antara tiga sanggul melintang,
Mana satu janda berhias.

Balai Cik Wan kecil,
Bentuk panjang lima;
Bertunang dari kecil,
Menikah bulan lima.

Beli terung beli kucai,
Makan mari bulan puasa;
Kena cium orang bermisai,
Tiga tahun terasa-rasa.

Buah durian buah kuini,
Mari jatuh atas para;
Duduk diam laki bini,
Selalu kena sakit kepala.

Buah ketapi tindih-menindih,
Buah kasinar dalam perahu;
Nak berlaki pilih-memilih,
Nak anyam bujam pun tak tahu.

Buah labu masak,
Masak hujung julai;
Apa jamu kakak,
Jamu nasi gulai.

Buah limau masak merekah,
Bawa pulang dibelah empat;
Rimau yang garang lagi kulangkah,
Inikan pula musang Jebat.

Buah petai sedap dijeruk,
Kalau jeruk hendak tua;
Deraslah benar tuan merajuk,
Orang merajuk lekaslah tua.

Buah pulut di tepi kota,
Buah dipetik sehari-hari;
Cukup hairan hati saya,
Intan manikam jadi sendiri.

Buai laju-laju,
Sampai pucuk sena;
Apa dalam baju,
Sekuntum bunga sena.

Buaya putih buaya keramat,
Mari tentang lubuk batu;
Abang putih melawa sangat,
Saya tidak memberi malu.

Budak-budak meruncing kalam,
Makin diruncing makin tajam;
Setitik dakwat nak perintah kalam,
Adakah nyamuk nak perintah alam.

Bukan asam sebarang asam,
Asam melilit di tanah raja;
Bukan masam sebarang masam,
Masam sebelum ditegur sapa.

Bukan lada sebarang lada,
Lada burung dari seberang;
Bukan janda sebarang janda,
Janda baru beranak seorang.

Bukit Tinggi tepi kota,
Nampak dari tanah tambak;
Harimau tak bergigi jangan dikata,
Dinyoyot-nyoyot ditelan jugak.

Bulan terang menikam pari,
Asam belimbing mengasah kuku;
Tengah malam kami ke mari,
Bawa kawan nak bersatu.

Bunga sena datuk,
Kembang tajul Malai;
Selawat pinang datuk,
Masuk jenung balai.

Burung Perling muka merah,
Murah beralun pintu;
Emak jeling katakan marah,
Perangainya memang begitu.

Burung tuli mandi berhujan,
Bolehlah mandi sekali lagi;
Orang tua menjunjung uban,
Boleh masuk ke medan lagi.

Kategori Kiasan/Sindiran:

Bab Aleh pergi membelah,
Pakailah baju kasa keringkam;
Senangnya keling memegang tasbih,
Ekor nan mata nikam senikam.

Bagaimana nasib bagaimanalah untung,
Tanam pisang tidak berjantung;
Saya umpama kera lutung,
Di mana ranting tumpang bergantung.

Baik-baik jaga kemudi,
Kita tahu pergi kuala;
Selama banyak kain berkodi,
Songket di gedung jarang jumpa.

Bakul berisi ketam dan siput,
Mari diletak di hujung sudut;
Yang menanti padang tak berumput,
Yang datang kurus berkerut.

Bakul penuh berisi limau,
Sangat berat tak boleh dijinjing;
Biar mati ditangkap harimau,
Jangan mati digigit anjing.

Balik sana ruang mengkipan,
Makan nasi berulam pauh;
Laksana ayam di tambatan,
Putus tali terbang jauh.

Banyak nyamuk di hutan Tengar,
Buah betik dipanggil papaya;
Kicau murai lagi didengar,
Inikan pula cerita manusia.

Beli kain buat purdah,
Mana yang baik bolehlah dipilih;
Disangka langit itu rendah,
Dipandang dekat dicapai tak boleh.

Beli mangkuk buat kenduri,
Panggil lebai serta aji;
Masa berkokok sama berlari,
Tak boleh bercampur biring bertaji.

Berani sungguh anak tupai,
Korek kelapa tengah hari;
Sungguh wangi bunga rampai,
Taruh kepala tidak berseri.

Berapa tinggi Bukit Malingan,
Sama bertimbang Bukit Berjaya;
Kalau sudah musimnya hujan,
Tidak keras bukit di paya.

Berburu ke Padang Datar,
Dapat rusa bergelang kaki;
Berguru kepalang ajar,
Macam bunga kembang tak jadi.

Besar kayu dua pemeluk,
Hendak ditebang berdiri duduk;
Kalau tidak panjang penjolok,
Mana mendapat bunga yang elok.

Besar puyuh dari pipit,
Cari makan tepi kolam;
Begitu banyak pulau dan bukit,
Guna apa di dalam alam?

Besarlah kapal di pulau itu,
Keluar asap bertambun-tambun;
Kembanglah bunga di taman datu,
Bertangkai kaca berdaun embun.

Betul bodoh orang di dapur,
Keris pesaka potongkan sayur;
Sungguh songket bunga bertabur,
Kerap tercampak di balik dapur.

Bintang tujuh tinggal enam,
Gugur sebiji di Gunung Daik;
Hilang sebut tinggal senam,
Baru tahu emas tak baik.

Bismilah mula dikarang,
Syairlah pantun sajanya kurang
 Laksana kainlah jarang,
Tidak boleh dibagi orang.

Buah betik dari Medan,
Jual mari pasar Melaka;
Cantik bulan di kaki awan,
Memancar-mancar mengeluar cahaya.

Buah limau tepi perigi,
Lipat kajang kemas-kemas;
Kalau abang mahukan kami,
Carilah kijang bertanduk emas.

Buah macang serangkul lebat,
Pakcik Saleh berniaga kain;
Tiga dipancang dua tak lekat,
Baik saya beralih lain.

Buah manggis dimakan budak,
Sayang mempelam buah di hulu;
Jumpa manis makan tak jelak,
Jumpa yang masam terasa ngilu.

Buah papaya buah nanas,
Masak sebiji seri gading;
Sungguh saya buaya ganas,
Pilih juga darah dan daging.

Buah pauh jatuh tercampak,
Jatuh mari tepi kuala;
Air keruh ikan tak nampak,
Buat penat turun menjala.

Buah pinang dalam pagar,
Mari jual anak Melayu;
Air tenang jangan ditawar,
Jadi gelombang saya tak tahu.

Buah pulut di tepi kota,
Buah dipetik sehari-hari;
Cukup hairan hati saya,
Intan manikam jadi sendiri.

Buah pulut lautan tanjung,
Dapat satu si lumba-lumba;
Muatan penuh sarat berdayung,
Layar ditarik angin tak tiba.

Buah rambai buah rambutan,
Masak sebiji celah daun;
Sudah nasib permintaan badan,
Buah masak dimakan burung.

Budak nakal di pintu raja,
Pakai pedang sebelah kiri;
Buah masak kalau tak jaga,
Disambar keluang dibawa lari.

Budak-budak bermain panah,
Main panah tanah seberang;
Semua pokok tumbuh di tanah,
Api-api tumbuh di cabang.

Budak-budak dipatuk tedung,
Dibuat-buat menangis-nangis;
Saya ibarat buah kedondong,
Dahulu kelat kemudian manis.

Budak-budak dua beradik,
Pergi ke pasar beli padi;
Saya asal teras yang baik,
Hujan panas serba jadi.

Budak-budak main ke tambak,
Tempat lalu kereta kuda;
Musim buah rambutan masak,
Mengapa limau bertaruk muda?

Budak-budak mandi perigi,
Putus tali tinggal galah;
Buah masak di pokok tinggi,
Hendak dilelai takut patah.

Budak-budak menahan taut,
Joran dicacak di tepi kolam;
Asal ikan tempat di laut,
Kenapa masak dibubuh garam?

Bukit Beguk barat Melaka,
Anjing menyalak ayam hutan;
Buah jarak tidak kusangka,
Jarak menjadi buah rambutan.

Bukit bernama Bukit Pandan,
Tempat orang tembak batu;
Batu canai disangka intan,
Bila dilihat baru tahu.

Bukit tinggi ditanam keledek,
Pucuk diketong isi digali;
Buah tinggi pengaitnya pendek,
Barulah terguna di umban tali.

Bukit-bukau gunung-ganang,
Pagi petang siang malam;
Ditetak dipukau direnung ditenung,
Di luar pisang racun di dalam.

Bulan mengambang embun menitik,
Cahaya sampai serata dunia;
Pokok cantik buah sebiji,
Bila gugur masam rasanya.

Buluh ditetak senjakala,
Buat main pasak perahu;
Pasang pelita senjakala,
Satu makhluk tidak tahu.

Buluh ditutuh dibuat sangkar,
Hendak menyangkar burung nuri;
Langit runtuh bumi terbakar,
Ke mana awak melari diri?

Bunga sena di hujung ranting,
Ditiup angin gugur ke lain;
Jika bunga tak hendak disunting,
Boleh dibuat peraksi kain.

Bunga Pak Mail kembang berkuntum,
Kembang pula dinihari;
Laksana bunga sekuntum,
Hilang di mana hendak dicari?

Burung camar burung di laut,
Camar seekor beliak mata;
Jangan digemar ikan di laut,
Ramai orang balik saja.

Burung gagak baru bertelur,
Kirai bulu duduk mengeram;
Buah masak tak mahu gugur,
Saya menunggu siang malam.

Burung gagak tepi pagar,
Cik Salleh orang berbudi;
Ada juga kudengar khabar,
Ombak bertepuk di tepi pantai.

Burung jelatik terbang ke ladang,
Dapat dicekup jangan dipicit;
Pokok cantik bertambah rendang,
Buah di pokok cuma sebiji.

Burung kedidi terbang ke pantai,
Deras jantan dari betina;
Sebab sebiji rosak setangkai,
Selalu diranggah apa guna?

Burung kedidi terbang ke pantai,
Terbang mari berkawan-kawan;
Ingin nak petik buah di tangkai,
Takut pula rosak sedahan.

Burung merah terbang ke laut,
Sampai ke laut mengangkut sarang;
Air bah kapal tak hanyut,
Inikan pula kemarau panjang.

Burung merpati terbang dua,
Hinggap di pangkin perlahan-lahan;
Niat hati nak makan buah,
Nak nanti musim bilakah tahan?

Burung merpati terbang ke hutan,
Duduk bertenggek di tepi sungai;
Tuan umpama cahaya intan,
Bagai zamrud baru dicanai.

Burung merpati terbang seratus,
Hinggap mari di pohon nanas;
Hendak meniti jambatan putus,
Hendak berenang buaya ganas.

Burung nuri terbang melayang,
Hinggap mari di celah dahan;
Walau nasi sudah terhidang,
Tidak disuap masakan makan.

Burung pipit di dalam bakul,
Ambil seekor berikan saya;
Alang bukit lagi kucangkul,
Ini pula tanah paya.

Burung pipit terbang ke sarang,
Endut berseru puyuh menyahut;
Bukit ditentang pun hilang,
Baik diturut pulau di laut.

Burung punai burung tiung,
Terbang dia seperti nuri;
Tuan ibarat bagai payung,
Saya di bawah merendah diri.

Kategori Nasihat:

Bahulu dalam pinggan,
Tiga hidangan roti raji;
Jangan malu jangan segan,
Kita sudah suami isteri.

Baiklah baik pasang pelita,
Pasang pelita tepi jeraya;
Baik-baik berpandang mata,
Memandang mata membuat dosa.

Baik-baik memilih ikan,
Jangan terpilih ikan gelama;
Baik-baik memilih intan,
Jangan terpilih batu delima.

Baik-baik menabur bayam,
Jangan bertabur ke benih maman;
Baik-baik memelihara ayam,
Helang berlegar tengah laman.

Baik-baik menjemur padi,
Jangan dimakan burung belatuk;
Baik-baik mencari ganti,
Biar hati lebih elok.

Baik-baik menebang jati,
Biar serpih tumbang jangan;
Baik-baik mencari ganti,
Biar terlebih kurang jangan.

Baik-baik menjemur padi,
Jangan dimakan burung belatuk;
Baik-baik mencari ganti,
Biar hati lebih elok.

Baju cik tangan sekerat,
Habis minyak sebelah bahu;
Perkara sedikit jangan duk melarat,
Kerana nanti banyak orang tahu.

Baju Melayu butangnya lima,
Datangnya asal di Teluk Belanga;
Jangan tuan suka menghina,
Kita sama-sama hidup di dunia.

Bangkit pagi rebus ketupat,
Taruh makan sehari sebiji;
Saya nak balik jangan mengumpat,
Minta sebut sehari sekali.

Banyak buah perkara buah,
Buah di rimba jangan dimakan;
Banyak tuah perkara tuah,
Tuah menimpa saya harapkan.

Banyak sungguh bunga melati,
Bawa mari ke dalam pekan;
Hidup kita lawan mati,
Mana jahat kita tinggalkan.

Banyak udang Kuala Palembang,
Mari dicedok tudung sebiji;
Anak orang jangan dibimbang,
Satu kerja haram tak jadi.

Bapa hendak meniti dahan,
Dahan patah tebing seberang;
Saja tak pandai harap faham,
Jangan gelabah disuruh orang.

Batu kiwi batu pengasah,
Buat pengasah parang cancung;
Buat dosa buat salah,
Malang nasib tidak tertanggung.

Batu Pahat Sungai Kundur,
Tempat tumbuh paku dulang;
Kalau jahat baiklah undur,
Jangan menyakit hati orang.

Bawa mari ke kedai Cina,
Kerana itu buah dagangan;
Hidup kita biar sempurna,
Kerana dunia ini adalah tumpangan.

Beli kuda baik dipacu,
Raja berangkat dari hulu;
Pada songket baik belacu,
Harga murah ganti selalu.

Beli kuda baik dipacu,
Pacu oleh budak-budak;
Mahal sutera beli belacu,
Tampal-tampal berkain juga.

Berani buat berani tanggung,
Jangan suka teragak-agak;
Jangan bawa rasmi jagung,
Makin berisi semakin tegak.

Beras kisar mudik ke hulu,
Tanak pulut santan durian;
Tak ada orang menyesal dahulu,
Banyak orang menyesal kemudian.

Berbuah si kundang-lendang,
Buah mengkal jatuh ke lubuk;
Jangan disentuh tunang orang,
Keris pukai makan rusuk.

Besar gelanggang tempat menyabung,
Tanam buluh menjadi rebung;
Kalaulah sudah suka menolong,
Tentu orang semua terkampung.

Berdentum guruh di papan,
Kilat sampai atas batu;
Apa masalah dalam badan,
Tolong huraikan satu persatu.

Besar landak dari seberang,
Naik meniti di atas batang;
Kalau tidak gerakkan tulang,
Rezeki mana boleh datang.

Besar perahu Tanjong Jati,
Muatan sarat ubi keladi;
Kalau tahu diri tak mati,
Penyakit tidak diubat lagi.

Besok hari Khamis,
Lusa hari Jumaat;
Kalau hati kita bengis-membengis,
Hidup kita tak selamat.

Besok hari Rabu,
Lusa hari Khamis;
Fikiran kita tidak tentu,
Hati kita bengis.

Besok hari selasa,
Lusa hari Rabu;
Kalau buat kerja tak dapat rasa,
Fikiran kita langsung tak tentu.

Buah berembang untai beruntai,
Mari beruntai dalam talam;
Jangan tuan suka mengintai,
Orang banyak lagi di dalam.

Buah durian buah kuini,
Mari letak dalam pasu;
Duduk diam laki bini,
Macam orang tidak bernafsu.

Buah durian dibelah dua,
Mari kutaruh di dalam upih;
Orang perempuan bersanggul dua,
Kalau bercakap terlalu lebih.

Buah durian masak mengkal,
Buah palas dimakan nyamuk;
Hari kemudian jangan menyesal,
Rupa paras sudah tengok.

Buah jangan dimakan sembarang,
Buah di rimba banyak duri;
Jangan mengharap tuahnya orang,
Sampai ketika susah sendiri.

Buah kentung buah kekati,
Buah salak di dalam dulang;
Jangan pukul jangan dimaki,
Hantar talak anak orang.

Buah kepayang dari Senggarang,
Pergi Separut membuat wajik;
Dulu kaya sombong dan garang,
Sekarang papa semua mengejek.

Buah ketapi kulitnya manis,
Patah galah dalam paya;
Orang lelaki mulutnya manis,
Cakap sepatah jangan percaya.

Buah nanas makan berkupas,
Makan berkupas dalam perahu;
Tuan panas siapa mengibas,
Panaslah juak tuan badanmu.

Buah pinang dalam celepa,
Buah nipah dibuat pengat;
Tuan senang jangan lupa,
Sudah susah baru beringat.

Buah salak di dalam hutan,
Buah masak tergantung tinggi;
Jika sudah salah buatan,
Jangankan untung bertambah rugi.

Buah sentul buah kecapi,
Buah salak dalam dulang;
Jangan pukul jangan dimaki,
Kasi talak hantar pulang.

Buah sentul buah kecapi,
Buah salak dalam dulang;
Jangan dipukul jangan dimaki,
Amun tidak hendak antaran pulang.

Budak Mesir berdagang intan,
Turun balai menuju ke paya;
Hendak fikir memakan umpan,
Bibir berkait badan tak rela.

Budak-budak bermain tombak,
Tombak diikat dengan rantai;
Kalau kutakut dilambung ombak,
Tak ku berumah di tepi pantai.

Budak-budak memasang rakit,
Baik-baik terkena jari;
Bubu dipasang kurang himpit,
Dilanggar roboh sendiri.

Budak-budak menampung amin,
Anak murid menghadap guru;
Harimau jangan main,
Belum kena belum tahu.

Budak-budak terlari-lari,
Sampai di kedai membeli beras;
Ingat-ingat orang negeri,
Rimau berantai nanti lepas (harimau/kiasan).

Bukan saya menutuh keranji,
Sebiar rempek tumbang jangan;
Betullah betul mencari ganti,
Sebiar lebih kurang jangan.

Bukan tidak saya katakan,
Merbuk biasa makan di papan;
Bukan tidak saya katakan,
Buah mabuk jangan dimakan.

Bukanlah mahal harga perabot,
Tidak ternilai tinggi harganya;
Harta orang jangan direbut,
Kalau direbut buruk padahnya.

Bukit Jertih berhutan buluh,
Tempat raja pergi memburu;
Minta selisih malaikat empat puluh,
Janganlah saya diberi malu.

Bukit runtuh sehari semalam,
Kayu terlepas beribu ratus;
Sauhnya putus kapal tenggelam,
Harapan kami jangan diputus.

Bunga cempaka digubah intan,
Pecah kelopak di dalam perahu;
Surat dibuka dari lipatan,
Seorang makhluk jangan diberitahu.

Bunga lada di atas batu,
Bersama dengan bunga melati;
Kalau ada niat begitu,
Baik simpan dalam hati.

Bunga lalang berikat benang,
Bungkus mari dengan kain;
Rimau diam nampak senang,
Jangan tepuk nak buat main.

Bunyi pungguk Kuala Sipitang,
Pungguk tidak berbayang tinggi;
Jangan pula abang datang,
Abang tidak bermalam sini.

Burung gok-gok mati di dahan,
Mati berlaga burung serindit;
Hati mabuk jangan ditahan,
Kalau ditahan menjadi penyakit.

Burung helang terbang dekat,
Dalam beringin tempat titinya;
Barang yang hilang takkan dapat,
Cari yang lain akan gantinya .

Burung jelatik burung kenari,
Burung hinggap di taman bunga;
Wahai adik orang bistari,
Bolehkah hamba tumpang bertanya?

Burung merbuk di tepi pekan,
Pipit tuli mati terjerat;
Buah mabuk jangan dimakan,
Pokok berduri jangan dipanjat.

Burung pucung terbang melintang,
Hinggap mari Gunung Daik;
Putih kuning sanggul melintang,
Itulah tanda hati tak baik.

Burung perling matanya merah,
Hendak memakan tempulur labu;
Sahabat menghilang nampak marah,
Tersinggung kawan dalam kalbu.

Burung serindit makan nanas,
Arang terap dalam padi;
Janganlah adik bercakap panas,
Rasa sedih di dalam hati.

Kategori Pahlawan:

Bangat-bangat menanam delima,
Buah ranum merah menyala;
Ingat-ingat pesan panglima,
Hilang Melayu hilang dunia.

Banyak nyamuk Kuala Gaung,
Nyamuk tidak takut api;
Banyak dosa saya tanggung,
Sedikit tidak takut mati.

Batu belah batu bertangkup,
Hendak makan telur temakul;
Dari awal saya tak takut,
Berani tebang berani memikul.

Berapa dalam laut Inggeris,
Dalam lagi laut Belanda;
Berapa tajam hujung keris,
Tidak takut menahan dada.

Berapa dalam Laut Inggeris,
Saya berani menebar jala;
Berapa dalam tikaman keris,
Saya berani menahan dada.

Berapa dalam lubuk Beladin,
Terlebih dalam lubuk Muarang;
Berapa tajam pisau dan ladin,
Terlebih tajam mata pedang.

Berapa dalam lubuk Inggeris,
Saya berani menebar jala;
Berapa tajam pisau dan keris,
Saya berani menegak dada.

Berapa dalam lubuk Inggeris,
Saya berani menebar jala;
Berapa tajam mata keris,
Saya berani membuang jiwa.

Berapa dalam Sungai Palembang,
Tempat orang turun menjala;
Sungguh ada senjata di pinggang,
Tidak boleh ditikam saja.

Berapa dalam Sungai Sanggarang,
Dalam lagi sungainya Kores;
Berapa dalam renungan orang,
Tajam lagi hujung keris.

Berapa dalam Teluk Kemang,
Saya berani tebar jala;
Berapa ramai anak Demang,
Saya berani membuang nyawa.

Bolehkah abang menebar jala,
Dapat seekor ikan selangat;
Berani abang menahan dada,
Biar mati bertindih mayat.

Buah kuini di dalam timba,
Hendak dibawa ke rumah Cik Kasa;
Jalan mati lagi dicuba,
Inikan pula jalan biasa.

Buah salak di dalam piring,
Buah kedondong atas jendela;
Kalau jalak lawan biring,
Nanti tedung menuntut bela.

Buah salak lambung-lambungan,
Jatuh sebiji di sawah padi;
Saya jalak ayam sabungan,
Di sini tempat kutempa mati.

Budak-budak tanam lengkuas,
Tanam mari tepi kota;
Sudah jumpa tempat yang luas,
Cukup sedap main senjata.

Bukan dedak sebarang dedak,
Dedak seberang laut jati;
Bukan budak sebarang budak,
Budak ini berani mati.

Burung berbunyi awan melindung,
Patah galah di hujung desa;
Kau sawa aku tedung,
Sama-sama mengadu bisa.

Burung berbunyi awan melindung,
Patah galah haluan perahu;
Kau sawa aku tedung,
Alah menang belum tahu.

Kategori Peribahasa:

Balik sana muda derdap,
Perahu ada galah tiada;
Laksana bunga dedap,
Merah ada baunya tiada.

Basuh periuk jemur ditungging,
Nampak hitam seperti arang;
Ikut hakim memiat daging,
Sakit di awak sakit di orang.

Batang kelapa dipotong-potong,
Tiap satu tidak disukat;
Bulat air kerana pembentung,
Bulat manusia kerana muafakat.

Bawa balik daun beringin,
Mari diletak di atas tangga;
Sudah nasib begini badan,
Sudah jatuh ditimpa tangga.

Belum dimakan jangan dijamah,
Di atas meja hidangan juadah;
Beralih kain di balik rumah,
Beralih cakap di balik lidah.

Berapa tinggi Bukit Semambu?
Buah manggis bertimang dua;
Kami bertiga umpama tebu,
Habis manis hampas dibuang.

Berempat tegak di tepian,
Cukup berlima maka mandi;
Usah mengumpat di bahagian,
Suratan sudah dimenterai.

Berteriak burung di rimba,
Parak bertagur di hujung kayuan;
Anjang perak layar kesumba,
Seperti pungguk merindu bulan.

Buah bacang jatuh ke paya,
Pokok pauh bernama mangga;
Apalah malang nasib saya,
Sudah jatuh ditimpa tangga.

Buah berembang buah bidara,
Masak seuntai dua untai;
Anak bersubang disangka dara,
Macam mumbang ditebuk tupai.

Buah berembang di atas para,
Anak kumbang terlampai-lampai;
Memakai subang kusangka dara,
Rupanya memang ditebuk tupai.

Buah labu si buah labu,
Banyak tumbuh di dalambatang;
Mulut manis seperti madu,
Tidaklah tahu lidah bercabang.

Buah langsat di Kota Medan,
Dibawa orang dari Belawan;
Kalau sesat di hujung jalan,
Surut ke pangkal jalan.

Buah langsat kuning mencelah,
Sayang senduduk berbunga pagi;
Sudah dapat gading bertuah,
Tanduk tidak berguna lagi.

Buah nanas di dalam ladang,
Diladang oleh Cik Siti;
Kusangka panas sampai ke petang,
Rupanya hujan di tengah hari.

Buah pupur di tebing tinggi,
Buah kandis masak putih;
Kalau nak ukur sama tinggi,
Kalau nak banding sama putih.

Budak-budak kupas bawang,
Taruh mari di dalam mangkuk;
Jangan bawa resmi keluang,
Tak boleh tengok buah di pokok.

Bukan saja condong ke dulang,
Saya tak mahu condong ke desa;
Biar saya berputih tulang,
Saya tak mahu berputih mata.

Bukit Gebuk Gunung Cik Jenal,
Nampak dari Pulau Nerang;
Adik duduk abang tak kenal,
Sikap pulih ayam mengerang.

Bunga Bakawali di Teluk Cengal,
Buat ubat seribu guna;
Kilat di air sudah kukenal,
Yang mana satu jantan betina.

Bunga keduduk bunga kenanga,
Berbau harum sampai ke jalan;
Hamba duduk sambil bertanya,
Ibarat pungguk merindukan bulan.

Bunga melati di tengah padang,
Mari dikutip anak Cina;
Harimau mati meninggal belang,
Manusia mati meninggalkan nama.

Burung disebut si burung merak,
Menjadi ratu istana rimba;
Untung sabut timbul nampak,
Untung batu tenggelam hamba.

 Burung jelatik burung jeladan,
Burung tekukur terbang meninggi;
Sudahlah paut samalah padan,
Marilah ukur samalah tinggi.

Burung jelatik burung jeladan,
Ketiga dengan burung tempua;
Sama cantik sama padan,
Ibarat pinang dibelah dua.

Burung nuri si burung tiung,
Turun makan di tepi pantai;
Hajat hati nak peluk gunung,
Apakan daya tangan tak sampai.

Kategori Perniagaan:

Batang kepaya dibuat tongkat,
Salah pegang jatuh terlipat;
Kalau berniaga tak tengok tempat,
Modal habis untung tak dapat.

Budak-budak beli terung,
Kalau terung dimasak minyak;
Lagi ditimbang baik diborong,
Kalau ditimbang untung tak banyak.

Budak-budak gali cacing,
Gali mari bawah tempurung;
Kalau tak kenal mata dacing,
Lagi ditimbang baik diborong.

Bunga dibawa dari Deli,
Kembang tengah tiga cabang;
Tuan jual saya beli,
Kalau tidak saya menumpang


Dipetik Dari Buku Kurik Kundi Merah Saga Terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka

6 Pandangan:

tehr Oktober 12, 2010  

banyaknya...
singgah ambil panduan juga ni, seri
boleh kan?

gnesop Oktober 12, 2010  

panjang sungguh pantun ni seri..
sampi ke bawah.....

terima kasih :)

kakrose Oktober 14, 2010  

pantun perniagaan pun ada eah..
bes kan..sambil berjualan..sambil berpantun..

Unknown Oktober 15, 2010  

rajin btuil dia wat pantun bnyak2 nie

admin Oktober 17, 2010  

Thanks for info n giving me ideas...




jobs:diamonds.........

Tanpa Nama,  Oktober 23, 2010  

Seri berseri pantun yang panjang,
Menghibur hati kala kesunyian,
Menyampah sudah hendak blogwalking,
Cukuplah comment sebagai gantian.

haha..pantun ekspres..

err..seri buat la facebook..teringin nak chat live.. dengan seri..ada benda berkaitan blog nak tanya..private..hehe..
oh ya 43 peratus trafik visitor saya dtg dari facebook.sbb sy ping kan url post kat sana.

Teman Setia

Template Modified By Seri Bahasa Proud To Be A Kinabatangan Blogger