Selamat Datang Diucapkan Kepada Semua Pengunjung Blog Ini Segala Komen Dan Saranan Teman Teman Amat Seri Hargai

Koleksi Pantun Empat Kerat ‘C’


Kategori Adat:

Cekak manis makanan sotong,
Sotong nak mati ditimpa ruang;
Tarik nafas tergantung-gantung,
Terkenang diri dikeji orang.

Celagi manis celagi masam,
Buah kelapa atas pintu;
Sekali manis sekali masam,
Zaman sekarang tidak begitu.

Cempaka putih cempaka biru,
Buat sunting bunga delima;
Masa ayah menganyam nyiru,
Angkit dengan tindih lima.

Ceriti pinang ceriti,
Cerana di atas papan;
Sirih ini sirih pengganti,
Kalau sudi silalah makan.

Cik Amat mengail ikan,
Dapat seekor ikan tenggiri;
Selamat tinggal saya ucapkan,
Panjang umur berjumpa lagi.

Cik Bedah pergi ke pekan,
Sampai ke pekan membeli rotan;
Kalau sudah bertuah badan,
Batu di tangan menjadi intan.

Cik Husin pergi ke kota,
Sampai ke kota membeli barang;
Orang miskin hidup menderita,
Orang kaya bersenang-lenang.

Cik Jeddah pulang ke Jeddah,
Segala harta di bawa balik;
Berpantun sudah berdoa pun sudah,
Teruna dan dara masuk ke bilik.

Cik Mahat tukang rumah,
Cik Ali tukang tingkap;
Minta maaf seisi rumah,
Minta izin saya cakap.

Cincin emas permata nilam,
Manis sungguh pakai di jari;
Kerana hari pun dah larut malam,
Mohon izin mengundur diri.

Cincin ini dari Yaman,
Pakai tangan jari kanan;
Barang ini barang makanan,
Kalau tak makan rasa kempunan.

Kategori Agama:

Cari galah kayu di hutan,
Singgah menetak cendana gaharu;
Minta doa mudah-mudahan,
Boleh rezeki datang selalu.

Cik Pandan pergi ke seberang,
Membeli tauhu dengannya ikan;
Kalaupun tidak dikenang orang,
Tuhan mengetahui iakah bukan.

Cik Salleh membeli pari,
Campur seekor ikan tenggiri;
Toleh kanan kiri berdiri,
Soal kubur datang mencari.

Kategori Budi:

Cik-cik hilir ke pekan,
Daun nangka berjari-jari;
Rupa cantik tak boleh makan,
Budi bahasa hendak dicari.

Kategori Jenaka:

Cak pipit burung serindit,
Mari mati di kaki bukit;
Kucium hidung pipi tergigit,
Kerana geram tak rasa sakit.

Cepu-cepu karang Cina,
Risik mengisi kain;
Cepu-cepu adik nak tanya,
Betul ke tidak nak cari lain?

Cik Esah menuju ke pekan,
Tumbuh kulat di kaki kuda;
Cik Esah cik tuan pesan,
Kirim surat kupinang muda.

Kategori Kiasan/Sindiran:

Cantik menyambar bagai dipeting,
Hujan menitik tepi pagar;
Tahan hempas tahan banting,
Tahan dititik tahan dibakar.

Cara mana memecah gelas,
Gelas dipecah dalam telaga;
Tuan laksana bunga nerejas,
Bunga dicium dalam syurga.

Cari kapas hutan Merlimau,
Padam api tinggal bara;
Kalau lepas mulut rimau,
Tempuh lalang takut juga.

Cenderawasih raja burung,
Turun di taman Indera Mambang;
Perahu siap belayar belum,
Nanti angin dari belakang.

Chah pukat dilanggar ikan,
Ikan ada dalam perigi;
Sila minta permata intan,
Intan ada sekerat negeri.

Cik Abu orang Peringgit,
Siang malam main perahu;
Buku tebu boleh kugigit,
Buku buluh belum tahu.

Cik Aki menjala ikan,
Dapat ikan jual di pekan;
Gunung tinggi siapa timbunkan?
Duri di hutan siapa tajamkan?

Cik Ali memacu kuda,
Jangan diregang tali ragam;
Asal matahari matahari juga,
Bulan terbit terangkan alam.

Cik Ali menembak berdetus,
Bunyi sampai tepi madrasah;
Nampak genting tidak putus,
Dengar berderak tidak patah.

Cik Ali pergi berperang,
Pergi berperang dengan senjata;
Awan di langit kalau terang,
Cahaya bintang baru nyata.

Cik Atak duduk tersenyum,
Bila-bila nampak tunangnya;
Buah masak terlalu ranum,
Tentu hilang manis rasanya.

Cik Dol anak Cik Tahir,
Tangkap belalang di celah batu;
Emas sekati intan setahil,
Cari tukang ikatkan satu.

Cik Esah pandai menilik,
Kerat limau sambil melintang;
Tembak rusa kijang terpekik,
Sampai tengok rimau terbongkang.

Cik Hassan mudik ke Bentong,
Singgah memetik buah putat;
Nasib badan tidak beruntung,
Ikan digulai habis melompat.

Cik Mat jalan melenggang,
Dua tiga ranting patah;
Air laut sekerat pinggang,
Buku lali haram tak basah.

Cik Mat masuk ke bilik,
Singgah ambil pasak perahu;
Sudah kulihat lagi kubelek,
Halus kasar sudah kutahu.

Cik Minah pergi ke hutan,
Tuala merah lekat di bahu;
Merah sungguh rambutan,
Durian juga membawa bau.

Cik Rasip beli sotong,
Bawa pulang lalu dibasuh;
Nasib tuan tidak beruntung,
Lain tanam lain tumbuh.

Cik Siti menjual nangka,
Dibubuh mari di dalam raga;
Haram sekali tak kusangka,
Ular lidi membunuh naga.

Cik Siti anak Cik Hanafiah,
Bangkit pagi menjahit kupiah;
Laksana buah masak sebelah,
Hendak kutelan serba salah.

Cik Siti orang di pekan,
Pecah periuk memasak susu;
Sayang sungguh burung di hutan,
Sayang denak tiada mengaku.

Cik Wahab suka berkebun,
Tebang nanas di tepi paya;
Jangan diharap setitik embun,
Kena panas keringlah ia.

Cincin ini cincin ditempa,
Cincin ini ikat suasa;
Kalau buah putik diranggah,
Masam manis tak tentu rasa.

Cincin intan buatan Bugis,
Kilau-kilau nampak warnanya;
Musim durian buah pun habis,
Manggis menumpang apa tandanya?

Cincin intan sarung di jari,
Bila pakai nampak cahayanya;
Sungguh durian buah berduri,
Dengan tupai alah deknya.

Cinta sayang dari Perlis,
Dibawa menari dalam majlis;
Saya umpama kain putih,
Sebarang warna boleh ditulis.

Cukup ramai orang di kampung,
Tengok orang berjual kain;
Sungguh garang ayam di kampung,
Denak di hutan terkamnya lain.

Cukup wangi bunga kesidang,
Makin pagi makin berbau;
Berapa tinggi Gunung Ledang,
Sudah daki baru tahu.

Kategori Nasihat:

Cik Ali anak Cik Hassan,
Hendak menggulai kambing jantan;
Sahabat baik saya berpesan,
Santan mabuk jangan dimakan.

Cik Amat orang pendekar,
Pandai merapat haluan perahu;
Ingat-ingat helang menyambar,
Kalau tak dapat beroleh malu.

Cik Mat anak Palembang,
Buat ladang tanam padi;
Kalau dah tahu rimau garang,
Baik duduk tempat yang tinggi.

Cik Esah makan mentimun,
Buang kulit belakang kota;
Apa susah angin nak turun,
Pedoman ada pada kita.

Cik Esah orang Patani,
Takut tengok telaga dalam;
Tak usah hidup begini,
Tidur siang berjaga malam.

Cik Jaapar pergi ke Pilah,
Waktu malam jalan bertongkat;
Kecil besar apa dipilih,
Sudah tentu buah seikat.

Cik Mahat orang di desa,
Duduk menjemur tepi paya;
Luar sihat dalam bisa,
Cari bomoh ubatkan saya.

Cik Mail menambat lembu,
Dapat seekor ketam bertandan;
Cantik puan pakai ilmu,
Sungguh ilmu orang tak pandang.

Cik Salleh memancing udang,
Udang dipancing dalam perahu;
Pilih memilih bawa tukang,
Baru kenal sutera belacu.

Cik tuan meragi kain,
Biar nipis pada jarang;
Cik tuan mencari lain,
Biar lebih jangan kurang.

Cincin perak permata baiduri,
Selang dengan intan berlian;
Kain kasar dalam duri,
Takut koyak tarik perlahan.

Cubalah abang naik rakit,
Naik kereta pergi ke hulu;
Bolehlah abang tolong sedikit,
Supaya adik bolehlah tahu.

Cuka-cuka beli di bandar,
Simpan makan dalam perahu;
Suka-suka mahu belajar,
Tidak belajar mana tahu.

Kategori Pahlawan:

Cik Ali membelah kundur,
Kundur terletak atas papan;
Apa jadi saya tak undur,
Tumpah darah atas papan.

Cik Sabtu mengasah kapak,
Buat pagar tepi sempadan;
Begini lama senjata kubawa,
Belum jejas daging di badan.

 Kategori Peribahasa:

Cari rebung tanah seberang,
Letak mari di atas tikar;
Kalau menyambung hendaklah panjang,
Kalau menebar hendaklah lebar.

Cedok air dengan baldi,
Cedok nasi dengan senduk;
Baik dibawa resmi padi,
Semakin berisi semakin tunduk.

Cendana sarang tempurung,
Encik Tambun menggulai siput;
Nyawa merat seperti burung,
Laksana embun di hujung rumput.

Cendawan tumbuh di batang,
Diambil orang setiap hari;
Bagai bulan dipagar bintang,
Pengantin duduk suami isteri.

Cik Amat orang Segamat,
Buluh tolam dibuat bangsi;
Biar lambat asal selamat,
Kalau termalam apa nak dinanti.

Cik Kadir menetak senduduk,
Senduduk tumbuh tepi telaga;
Kalau takdir tak dapat tanduk,
Namun telinga kupulas juga.

Cik Yam duduk di pintu,
Sambil menjahit baju kurung;
Sahabat diam memang begitu,
Macam gunting makan di hujung.

Cukup panjang tali timba,
Susah diukur susah didepa;
Ulat bergulung di hutan rimba,
Rezeki nak putus dari saya.

Kategori Perniagaan:

Cantik semacam anak patung,
Baju merah baju kurung;
Nasib berniaga kalau mahu untung,
Modal sedikit jadi sekarung.

Cik Mamat cucu perompak,
Hendak merompak tanah seberang;
Cari modal penuhkan petak,
Baru boleh lawan gelombang.

Cina melompat lautan api,
Merebut gemala di mulut naga;
Asal mendapat kehendak hati,
Mahal murah dibayar harga.


Dipetik Dari Buku Kurik Kundi Merah Saga Terbitan
Dewan Bahasa Dan Pustaka

4 Pandangan:

Tanpa Nama,  Oktober 19, 2010  

hallo mba seri.. wah kumpulan pantunnya bagus-bagus ya mba.. :)

~~su manje~~~ Oktober 19, 2010  

panjangnya pantun seri kali nie....
salam seri ingat lagi kat su manje tak.... su lama tak singgah sini....
harap seri sihat2 je su tau seri dh ada penganti seri yang dulu dh sambung study.....

Abiyasha Oktober 19, 2010  

Syair yang indah..kawan,

Unknown Oktober 20, 2010  

wooowww...menarik..

Teman Setia

Template Modified By Seri Bahasa Proud To Be A Kinabatangan Blogger