Selamat Datang Diucapkan Kepada Semua Pengunjung Blog Ini Segala Komen Dan Saranan Teman Teman Amat Seri Hargai

Koleksi Pantun Empat Kerat ‘E’


Kategori Adat:


Encik Andak menjual kain,
Kain sutera dari seberang;
Walaupun banyak sahabat yang lain,
Manakan sama tuan seorang.

Encik Kolok orang Temiang,
Encik Mat Tahir pengasuhnya;
Ambil golok buat menyiang,
Ambil air pembasuhnya.

Encik Mat Tahir pengasuhnya,
Muara peti pandai menyala;
Ambillah air buat pembasuhnya,
Hiduplah api menyala-nyala.

Encik Wahid anak Melayu,
Hari-hari mengail udang;
Orang menjahit saya tak tahu,
Tentang menggunting jangan bimbang.

Kategori Agama:

Encik Akop menggali kolam,
Delima batu dipenggal-penggal;
Kalau dah sanggup jadi Islam,
Lima waktu jangan ditinggal.

Encik Ali membawa galah,
Sampai kuala menjala ikan;
Bukit tinggi dijadi Allah,
Lautan dalam siapa galikan?

Encik Esah pergi Merlong,
Sampai Merlong masak petola;
Orang susah wajib ditolong,
Baru kita dapat pahala.

Kategori Budi:

Encik Elok minum di kendi,
Kendi berisi minyak lenga;
Apa dipujuk abang berbudi,
Dalam berbudi banyak terkena.

Kategori Jenaka:

Elok sungguh dangau di padang,
Cacat sedikit bumbungnya lentik;
Elok sungguh tunang cik abang,
Cacat sedikit punggungnya lentik.

Emak! Emak! Anyam ke raga,
Nak mengisi telur merbah;
Emak! Emak! Hantar ke paya,
Saya nak tengok janda mengubah.

Emak! Emak! Anyam raga,
Nak mengisi si raga inai;
Emak! Emak! Hantar ke paya,
Saya nak tengok janda menuai.

Emak! Emak! Mintaku lada,
Hendak menyayur pisang tumbang;
Emak! Emak! Mintaku janda,
Janda ada beranak seorang.

Encik Hamid belayar ke Jawa,
Buah jerap masak merekah;
Tabir langit sudah sedia,
Malam besok abang nak nikah.

Encik Mamat memetik lada,
Tetak daun di rumah tinggal;
Kalau terkena hikmatnya janda,
Tujuh tahun sembahyang tinggal

Kategori Kiasan/Sindiran:

Elok-elok raja di Bentan,
Awan berkiluk berganti-ganti;
Tidak ternilai cahaya intan,
Jatuh ke lubuk hilang sekali.

Encik Daud pulang dari pekan,
Sampai hilir mudik ada;
Benar diraut yang mana ikan,
Di mana pokok di situ ada.

Encik Gamung orang Melaka,
Lipatlah kajang kemas-kemas;
Janganlah sombong adik berkata,
Di mana kijang bertanduk emas?

Encik Mat jalan berlenggang,
Satu dua ranting tak patah;
Air laut sekerat pinggang,
Buku lali haram tak basah.

Kategori Nasihat:

Encik Ali mengerat nibung,
Kapaknya tumpul mari diasah;
Putus tali boleh disambung,
Putus sahabat hati gelisah.

Encik Andak menjual kain,
Kain sutera dari seberang;
Walaupun banyak sahabat yang lain,
Manakan sama tuan seorang.

Encik Din orang Melayu,
Mari berhuma tengah jeramik;
Saya tak izin saya tak mahu,
Pulang ke rumah mengata kamek.

Encik Esah pergi Merlong,
Buah papaya dibikin wajik;
Orang susah jangan ditolong,
Kalau dah kaya kita diejek.

Encik hendak ke Inderagiri,
Tujuh petak dari ruang;
Jangan suka puji diri,
Bisa di badan tidak terbuang.

Encik hendak pergi ke Deli,
Singgah di pantai ikan disuluh;
Jika tidak dalam diri,
Orang pandai menjadi bodoh.

Entah tembung entahkan tombak,
Pakaian penyamun cucu perompak;
Sekat penuh muatan petak,
Langkah yang baik saya bertolak.

Kategori Pahlawan:

Encik Isa anak Palembang,
Dari Patani lalu ke Kelantan;
Sekalian bisa lagi kubuang,
Inikan pula bisa di badan.

Encik Lebai naik ke bukit,
Menangkap ayam di pohon gaharu;
Orang kebal lukanya sedikit,
Remuk di dalam orang tak tahu.

Kategori Peribahasa:

Encik Embong pergi ke Jeddah,
Terus bertahun hingga raya;
Teluk tanjung lagikan berubah,
Inikan pula hati manusia.

Encik Hitam orang Bangkahulu,
Datang ke sini menjaja kain;
Hitam rambut sama berbulu,
Tetapi hati lain-lain.

 Kategori Perniagaan:

Encik Arshad menggali cacing,
Itik baru kerat kepaknya;
Kalau pandai menimbang dacing,
Baru tahu di mana beratnya.


Dipetik Dari Buku Kurik Kundi Merah Saga Terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka

3 Pandangan:

Cik Aien November 15, 2010  

koleksi pantun agama tu patut diberi perhatian hehe :)

Teman Setia

Template Modified By Seri Bahasa Proud To Be A Kinabatangan Blogger